InsyaAllah, pada pagi Jumaat yang penuh barakah ini, ana dengan rasa rendah diri ingin berkongsi 'tazkirah' bersama sahabat-sahabat yang ana kasihi sekalian...
Tulisan ana insyaAllah, datangnya dari hati..menyentuh tentang hati..jadi ana mengharapkan sahabat-sahabat dapat membaca dan memahami dengan hati juga..
SOAL HATI
Berbicara tentang hati sememangnya tajuk yang cukup kompleks kerana kita berbicara tentang seketul daging yang tidak jelas secara zahir tetapi amat berkuasa dalam menerbitkan tenaga perbuatan mengikut arahannya. Kita sebagai manusia dengan membawa 'title' sebagai pendakwah juga tidak lepas dari ujian getir mengawal sekeping hati di dalam tubuh kita ini. Kewujudannya telah digambarkan sendiri oleh Rasulullah;
"...Ketahuilah bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya.Dan apabila ia rosak, rosaklah badan sekaliannya. Ketahuilah! Itulah hati...."
Ana suka untuk membawa sahabat-sahabat melihat hadis ini dalam konteks yang lebih realistik dengan diri kita di dunia ini.
Andai kata kita diberikan sebuah 'laptop' oleh universiti kita yang mana laptop tersebut sangat penting untuk digunakan dalam proses pembelajaran mahupun dalam menghadapi quiz dan peperiksaan 'online'.
Sebarang kerosakan akan menatijahkan masalah dan gangguan kepada kelancaran proses pembelajaran. Anda juga akan diminta untuk membayar gantirugi pula jika berlaku kerosakan atas kesalahan sendiri.
Kemudian anda diberitahu pula oleh Dekan bahawa,
"Dear students, in this laptop, there's a metal piece. If it is in good condition, hence the laptop will function at its best.But if it is in bad condition, the laptop will malfunction. For your information, the metal piece is the hard drive."
Apabila diberitahu sedemikan, sudah tentu akan terbit didalam benak hati dan fikiran semua pelajar akan kepentingan untuk memastikan hard drive laptop kita sentiasa di dalam keadaan yang baik..
Pelajar yang betul-betul menghargai dan memahami kepentingan menjaga 'hard drive' itu sahaja akan mebuat tindakan yang sewajarnya. Mereka akan memastikan hard drive dimatikan bila laptop diangkat berjalan. Mereka akan berusaha melengkapkan laptop dengan segala macam 'protection against malicious programs' dengan tujuan supaya 'hard drive' tersebut terpelihara dan tidak rosak.
Ini kerana kita tahu, seandai berlaku kerosakan pada hard drive , maka kesan buruknyanya adalah kepada diri anda sendiri akibat hilangnya data, informasi atau lebih teruk lagi, laptop itu sendiri.
Ini hanyalah analogi kecil sebuah laptop, yang apabila rosak, boleh sahaja kita hantar ke kedai untuk diperbaiki ataupun boleh sahaja kita buang dan belikan yang baharu yang mungkin lebih berkualiti dan canggih.
Bagaimana pula dengan hati kita?
Sahabat-sahabat yang ana kasihi, mengapa agaknya perkara yang sama tidak kita aplikasikan dengan usaha kita memelihara seketul daging yang besar impaknya ini terutama dalam kita meniti kehidupan seharian sebagai seorang Muslim.
Mengapa kita lebih cenderung menjaga perkara-perkara keduniaan berbanding seketul daging ini?
Mengapa ada antara kita begitu cepat tewas dan terkandas dengan pujukan jahat bercampur nafsu dek kerana seketul daging yang tidak lagi berfungsi secara normalnya?
Mengapa agaknya kita melihat diri sendiri mahupun sahabat-sahabat kita begitu keras sekali untuk menerima nasihat dan peringatan yang diberikan kepada mereka?
Adakah seketul daging tersebut telah menjadi keras bak batu, walhal batu yang keras sekalipun mampu terhakis dengan titisan dan percikan air yang berpanjangan. ...
Inilah dia seketul daging yang kita gelarkan HATI. Punya pelbagai persoalan yang semestinya tuan punya hati tersebut lebih tahu dan faham mengapa hati mereka menjadi sedemikian.
Alhamdulillah, seandainya kita masih dikurniakan oleh Allah getaran pada hati yang dapat menyedarkan kita tatkala leka dan lalai berbuat maksiat.
Alhamdulillah, sekiranya kita senantiasa punya sahabat yang memberi peringatan kepada kita pabila hati kita mula kotor yang terpamer melalui perbuatan 'lagha' dan semangat juang yang mula pudar.
Tapi bagaimana pula seandainya hati ini tinggal menjadi seketul daging yang tidak lagi punya kuasa untuk merasai getaran dosa? Tidak lagi mudah merintih menangis memohon taubat dan mengharapkan pengampunan dariNya?
Seperti yang pernah diungkapkan oleh Ibrahin bin Adham;
"Hati orang beriman adalah bersih seperti cerminnya,kerana syaitan tidak dapat memperdayakannya dengan sesuatu, kerana ia lebih dahulu melihatnya. Tetapi ia telah sekali berdosa, Allah campakkan ke dalam hatinya satu tompok yang hitam. Kalau ia bertaubat, hilanglah warna kehitaman itu.Andai kata ia kembali berbuat dosa, dan tidak bertaubat, timbullah semula tompokan itu hingga sekalian hatinya menjadi hitam belaka.Waktu itu tidaklah lagi berguna nasihat yang diberikan kepadanya."
Berdasarkan petikan ungkapan di atas, sukalah saya untuk mengajak sahabat-sahabat berfikir melalui analogi sebuah cermin..
Saban hari kita menggunakan cermin sama ada sebelum ke kelas atau dalam pelbagai keadaan terutama bagi muslimat.
Cermin memberikan refleksi penampilan diri secara luaran yang boleh dikatakan tidak pernah menipu dalam memberikan imej atau gambaran sebenar. Jika kusut rambut yang ditunjukkan dalam imej cermin kita, maka memang kusutlah rambut kita realitinya. Andai comot tudung yang diperlihatkan oleh imej cermin kita, maka comot jugalah tudung yang dipakai oleh kita.
Melalui cermin, kita mengetahui akan baik buruk penampilan fizikal kita. Melalui cermin, kita dapat membetulkan mana-mana anggota atau pakaian yang kusut,yang comot dan yang tidak betul.
Cermin memberikan refleksi penampilan diri secara luaran yang boleh dikatakan tidak pernah menipu dalam memberikan imej atau gambaran sebenar. Jika kusut rambut yang ditunjukkan dalam imej cermin kita, maka memang kusutlah rambut kita realitinya. Andai comot tudung yang diperlihatkan oleh imej cermin kita, maka comot jugalah tudung yang dipakai oleh kita.
Melalui cermin, kita mengetahui akan baik buruk penampilan fizikal kita. Melalui cermin, kita dapat membetulkan mana-mana anggota atau pakaian yang kusut,yang comot dan yang tidak betul.
Akan tetapi, pernahkah kita terfikir andai cermin yang kita gunakan penuh dengan tompok hitam, kabur dengan salutan debu yang tidak pernah dibersihkan mahupun digilap?
Mampukah lagi cermin tersebut menjalankan tugasnya memberikan refleksi imej diri kita yang sebenar? Memberitahu kita di mana yang salah,di mana yang kusut, di mana yang comot?
Begitu jugalah dengan seketul daging yang bernama HATI ini. Andai hati kita penuh dengan tompok-tompok hitam? Penuh dengan salutan debu dosa dan palitan maksiat, mampukah hati kita untuk 'memperlihatkan' kepada kita baik buruk sesuatu perkara dan tindakan yang bakal kita lakukan?
Mampukah hati kita menjadi 'penasihat' kepada akal minda kita untuk berfikir berlandaskan iman dan bukannya hawa nafsu?
Adakah hati kita resah gelisah dengan perbuatan melayari Youtube menonton video muzik yang melalaikan ataupun drama Korea/Jepun yang mengasyikkan?
Adakah hati kita membara ingin melaksanakn nahi mungkar dengan perlakuan maksiat dan kejahatan masayarakat di sekeliling kita atapun kita hanya duduk melihat sambil merungut di hati sahaja?
Sesungguhnya pabila hati tidak lagi menjalankan 'amanah' yang sepatutnya, tidak lagi membenarkan yang Haq apatah lagi membenci yang batil, maka bermuhasabahlah dan telitilah setiap tindak tanduk kita. Andai ada dosa-dosa kecil kita yang mecalitkan tompok hitam ke hati-hati kita, kita mungkin tidak mampu untuk melihatnya dengan mata kasar seperti kita melihat cermin. Namun, Allah itu Maha Pengampun. Sentiasa menunggu-nunggu hambaNya merintih dan menangis memohon taubat kepada Nya.
Di pagi Jumaat ini juga, saya mengajak sahabat-sahabat sekalian untuk beristighfar. Kita mungkin tidak menyedari apakah ada lintasan hati kita, tutur kata kita, mimik muka kita,atau perbuatan kita yang mencambahkan benih-benih dosa di dataran hati kita.
Tambahan kita semua insyaAllah memegang tanggungjawab yang berat, iaitu sebagai khalifah Allah, dengan misi menegakkan syiar Islam, maka menjadi kewajipan bagi kita untuk senantiasa koreksi diri dan bermuhasabah.
Peliharalah hati hati kita dari sebarang penyakit hati yang sering melanda pejuang Islam seperti riak,ujub dan bangga diri.Semoga dengan keikhlasan dan kemurnian hati-hati kita semua dapat pula menarik hati-hati para mad'u.
Janganlah kita cepat berputus asa andai mad'u begitu tegar dan keras hati untuk memahami 'dosa'nya sesuatu perbuatan atau 'maksiat'nya sesuatu perkara.
Mungkin hati-hati mad'u kita sudah tepu dengan tompok hitam yang mana mungkin cahaya mahupun percikan tazkirah kita dapat menembusinya.
Oleh itu, sahabat-sahabat peringatkanlah sahabat-sahabat dan mad'u-mad'u anda untuk melafazkan kalimah 'astaghfirullah al-azim' dan lazimilah solat sunat taubat.
Berdoalah agar hati-hati kita semua disatukan atas dasar akidah dan diberikan kekuatan untuk melawan nafsu jahat dan tipu daya syaitan.
Sekian tazkirah dari ana. Semoga kita semua dapat mengambil iktibar daripada apa yang ditulis, walaupun diri penulis mungkin sahaja lebih teruk dari mereka yang membaca. Ana mohon maaf atas segala kelemahan yang terpamer, semoga segala kebaikan yang terbit dipulangkan semula kepada yang Maha Agung, Allah swt.
Wallahu 'alam.
assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
ReplyDeletesalam hormat saudara,
saya membaca artikel saudara.
terima kasih,