Sunday, April 24, 2011

Kekuatan Jiwa Yang Hilang

Akhir- akhir ini, sudah tiada lagi semangat ingin mencoretkan luahan rasa ataupun buah fikiran di blog sendiri.

Bukan kerana kesibukan semata, tetapi lebih kepada kerana diri ini merasakan blog bukanlah tempat untuk mengadu, berkeluh kesah dan mencerita dan membuka semua rahsia hati yang tersimpan.

Walaupun, terasa ingin sangat mengeluarkan segala yang terbungkam di hati dan 'menjerit' di blog memberitahu segala yang tidak tersingkap oleh lisan..

Tiada selain-Nya yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Kerana keyakinan ini, bukan sahaja blog, malahan kawan- kawan serta keluarga juga bukanlah tempat untukku mengadu dan menceritakan kekusutan jiwa.

Jika bukan kerana iman dan syahadah yang diucapkan setiap kali solat, mungkin sahaja akan dikunjungi pakar psikiatri untuk mendapatkan penawar depresi yang melanda. Walaupun mugnkin tidak sampai ke tahap itu, jika tidak dibendung, mungkin sahaja akan melalui jalan - jalan ke situ.

Jiwa semakin terseksa dengan masalah hati yang tidak tenang. Lebih teruk kerana puncanya diketahui tetapi penawarnya melibatkan perihal manusiawi yang tidak mungkin dapat dicapai penyelesaiannya dek ego dan malu masing- masing.

Ditambah dengan tekanan akademik dan peperiksaan yang maha kuat, bukan sekali dua idea meninggalkan dunia perubatan menerjah ke fikiran. Tiada lagi motivasi dan keseronokan untuk menempuh dunia medik yang sungguh mencabar. Pergi ke kelas setiap hari adalah satu mujahdah buat diri kerana 'passion' yang telah mula pudar.

Menjadi seorang Muslim mengajar diri untuk sentiasa bermuhasabah. Tentu ada sesuatu yang ingin Allah tunjukkan dengan pelbagai ujian yang ditimpakan dari segenap sudut.

Bagaimana iman? Bagaimana hati? Bagaimana amal? Bagaimana ibadah? Bagaimana lidah?

Kesemuanya diselongkar untuk mencari silapnya. Merintih pada-Nya meminta petunjuk kepada khilaf diri. Memohon diberi kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi dan bermujahadah dengan ujian hawa nafsu.

Rendahnya iman. Kotornya hati. Amal yang tidak konsisten. Ibadah yang tidak dipelihara. Lidah yang tidak dijaga.

Akhirnya melahirkan JIWA yang lemah.

Nekad membawa diri mencari jawapan dan ubat kepada kekusutan jiwa yang melanda. 'Musafir diri' untuk mencari ketenangan...

Alhamdulillah, Allah kabulkan permintaan supaya diperjelaskan lagi 'ubat' dan 'penawar' yang diperlukan. Bukan sesuatu yang tidak diketahui atau asing buat diri...tapi sesuatu yang perlu diperbaiki dan dipelihara ataupun perlu dipertingkatkan...

1. Menjaga hati
2. Mengingati pengorbanan ibu bapa
3. Menjaga hubungan dengan Allah
4. Menghormati orang lain
5. Mensasar pencapaian tertinggi


Dan Allah itu Maha Penyayang. Diperjelaskan lagi ubat bagi menguatkan jiwa yang semakin lemah ini..

Bagaimana Qiamullail?

Nabi Muhammad saw sebelum disyariatkan dakwah secara terang- terangan diwajibkan bagi umatnya untuk Qiamullail. Itu adalah sumber kekuatan para sahabat dan Baginda saw sendiri sepanjang usaha dakwahnya yang menyaksikan pelbagai ujian yang beratus kali ganda lebih berat.

Seberat mana ujian itu, ia bergantung kepada indvidu itu sendiri. Andai lemah jiwanya, ujian ringan sekalipun boleh menatijahkan kesan yang besar dan merugikan diri sendiri.

Andai kuat jiwa tersebut, maka datangkanlah pelbagai ujian sekalipun, Allah sentiasa bersama memberi kekuatan dan pertolongan. Keyakinan yang jitu itulah yang menjadi pemangkin kepada sebuah kemenangan.

Tazkirah buat diri kerana tidak menjaga 5 formula yang diberikan terutamanya Qiamullail.

Ujian - ujian ini mungkin satu memo dari Pencipta buat hamba yang makin lalai.

Motivasi dan semangat yang pudar untuk 'menuju kejayaan dunia & akhirat' itu pula adalah bisikan dan tipu daya syaitan yang tidak ingin melihat diri ini berusaha untuk berjaya.

Semoga Allah ampunkan segala dosa dan maksiat yang dilakukan. Berikanlah diri ini kekuatan dan kesabaran untuk memelihara hati dan nafsu. Kurniakanlah pertolongan dan kefahaman serta jauhkanlah dari sifat malas dan perkara lagha. Campakkanlah kekuatan dalam jiwa yang lemah ini dan janganlah ditinggalakan diri ini walau sesaat.


Kerana diri ini Muslim, janganlah bersedih wahai hati kerana Allah itu lebih dekat denganmu.









No comments:

Post a Comment